LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK KTP : PEMINDAHAN PENGETAHUAN KESELAMATAN BERASASKAN TINGKAH LAKU
13 Ogos 2020 (Khamis) - Pusat Pemindahan Ilmu (KTC), USM telah menjalankan lawatan pemantauan dan penilaian ke atas projek Dr. Ezrin Hani Sukadarin dari Universiti Malaysia Pahang yang bertajuk "Behavioral Based Safety in Construction Industry " bertempat di Ahmad Zaki Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
Lawatan pemantauan dan penilaian ini bertujuan menilai kemajuan pencapaian projek serta memastikan projek dilaksanakan mengikut objektif dan jejak kunci (milestone) seperti yang ditetapkan dalam borang permohonan yang telah diluluskan. Selain itu, pemantauan ini juga ingin menilai sejauh mana hasil (output) dan keberhasilan (outcome) sasaran dan impak ke atas akademia, graduan pelatih, organisasi industri/komuniti dan universiti tercapai.
Sesi lawatan pemantauan selama dua (2) jam ini dihadiri oleh Dr. Ezrin Hani Sukadarin selaku ketua projek, Encik Izarudin selaku Pengurus Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) dan tiga orang panel penilai yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Misni Surif, Profesor Dr. Haslan Abu Hassan dan Dr. Mohd Sukri Shafie.